Saturday, May 31, 2014

Topik 2 Menyiasat Alam Fizikal Tahun 4 (Contoh Penulisan Esei)

Pada dua tahun lepas, kami telah mempelajari mengenai Pengukuran.  Dalam pengukuran ini terdapat beberapa perkara yang telah saya pelajari.  Antara perkara yang telah saya pelajari ialah panjang, luas, isi padu, jisim dan masa.  

Panjang secara ringkasnya ditakrifkan sebagai jarak di antara dua titik.  Terdapat beberapa unit piawai yang asas digunakan untuk mengukur panjang seperti milimeter (mm), sentimeter (cm), meter (m) dan kilometer (km).  Dalam tajuk ini juga kami juga telah diperkenalkan dengan cara pengukuran tradisional seperti kaki, jengkal, depa dan hasta (bacaan tidak piawai).  Cara pengukuran tradisional ini adalah tidak seragam dan tidak sama bagi setiap individu. Antara alatan yang sering digunakan untuk mengukur panjang pada masa kini adalah seperti pembaris dan pita pengukur.  Bagi bahan yang tidak sekata, penggunaan alatan seperti benang dan pembaris adalah sangat membantu dalam mengukur panjang.  Dalam mengambil bacaan pula. kedudukan mata haruslah selari dan bermula dengan nilai "0" semasa bacaan ukuran diambil.  

Selain daripada panjang, kami juga seterusnya mempelajari mengenai pengukuran luas.  Luas bermaksud saiz sesuatu permukaan.  Bagi pengukuran objek yang sama rata seperti permukaan buku teks boleh menggunakan rumus ini iaitu Panjang  x Lebar = Luas.  Unit luas adalah seperti milimeter persegi (mm2), sentimeter persegi (cm2), meter persegi (m2) dan kilometer persegi (km2).  Pengiraan jumlah luas permukaan ini adalah memerlukan pengukuran panjang yang betul bagi nilai yang tepat.  Tetapi bagi permukaan bahan atau objek yang tidak sekata pula, penggunaan kertas grid atau kertas graf berpetak adalah sangat membantu dalam pengiraan luas ini.

Sehubungan itu, unit seterusnya yang kami pelajari adalah isi padu.  Isipadu adalah merupakan suatu unit kesinambungan daripada unit panjang dan luas.  Umumnya, isipadu bermaksud jumlah ruang yang diisi.  Pengiraan isipadu bagi objek sekata seperti blok kayu kuboid atau kiub boleh menggunakan rumus pengiraan berikut iaitu Isipadu = Panjang X Lebar X Tinggi.  Unit yang digunakan dalam pengukuran isipadu pula adalah seperti milimeter padu (mm3), sentimeter padu (cm3), meter padu (m3) dan kilometer padu (km3).  Manakala bagi pengukuran isipadu objek yang tidak sekata seperti guli dan batu pula boleh diukur dengan menggunakan teknik sesaran air iaitu mengukur isipadu air yang disesarkan oleh objek yang tidak sekata tersebut.  Antara perkara yang penting kami perlu tahu dalam teknik ini adalah 1ml = 1cm3, iaitu contohnya jika 10 ml air yang disesarkan maka isipadunya juga adalah 10cm3. Selari dengan unit isipadu ini juga, kami telah mempelajari dengan cara menyukat isipadu cecair menggunakan beberapa alatan seperti bikar dan silinder penyukat.  Kedudukan mata hendaklah selari dengan meniskus semasa mengambil bacaan  (iaitu garis lengkung ke bawah bagi cecair seperti air dan ke atas bagi cecair seperti merkuri). Unit am yang biasa digunakan dalam isipadu cecair adalah mililiter (ml) dan liter (1) iaitu 1000ml = 1l.

Selepas tajuk tersebut, kami telah mempelajari topik pengukuran jisim.  Pada mulanya saya menganggap jisim dan berat adalah sama.  Rupa - rupanya jisim mempunyai unit gram(g) dan kilogram (kg), manakala berat sepatutnya berunit Newton (N). Jisim sesuatu bahan adalah tidak berubah meskipun di mana - mana tempat tetapi berat boleh dipengaruhi oleh tarikan graviti sesuatu tempat. Ini bermaksud jisim adalah nilai ukuran kuantiti sesuatu bahan.  Seperti cara pengukuran yang lain juga, kedudukan mata dan skala bermula daripada nilai "0" adalah sangat penting dalam pengambilan baca nilai jisim.

Tajuk terakhir yang kami pelajari untuk topik 2 dalam menyiasat alam fizikal untuk Tahun 4 ini adalah pengukuran masa.  Masa adalah bermaksud tempoh di antara dua ketika.  Unit piawai yang digunakan untuk mengukur masa adalah saat (s), minit (m) dan jam (j).  Pengukuran unit masa ini sangat membantu kami dalam pengiraan dan penggunaan jam sehari - harian. 

Kesimpulannya, terdapat beberapa unit dan rumus yang penting perlu kami fahami dan ketahui dalam topik ini. 



Cadangan Rujukan:
http://cikguhamzah.wordpress.com/sains-upsr/tahun-iv/pengukuran/
http://bank-soalan.com/TUISYEN/Nota%20Peta%20Minda%20Tahun%204,5,6%20Sains~2010.pdf



Regards,
NMD

Contoh Penulisan Esei Topik 1 Menyiasat Alam Kehidupan Tahun 6

Unit pertama yang kami pelajari untuk Topik Menyiasat Alam Kehidupan semasa Tahun 6 adalah interaksi antara hidupan.  Ia adalah merupakan kesimbungan daripada topik yang telah kami pelajari semasa Tahun 4 dan 5. 

Dalam unit pertama ini, kami telah mempelajari mengenai sesetengah haiwan hidup secara berkumpulan dan sesetengahnya pula hidup menyendiri. Haiwan yang berkumpulan adalah merupakan haiwan yang hidup secara berkelompok dan bersama dengan spesiesnya.  Contoh haiwan yang berkumpulan adalah seperti gajah, semut, monyet, serigala dan seladang.  Dari segi kelebihannya pula adalah haiwan ini dapat mencari makanan bersama - sama, saling membantu dalam mempertahankan diri daripada musuh dan saling membantu dalam membina sarang.  Walaubagaimanapun terhadap juga haiwan yang hidup secara bersendirian seperti beruang, helang, harimau, panda gergasi dan labah - labah. Haiwan ini hidup secara bersendirian bagi mengelakkan persaingand daripada mendapat makanan dan ruang.  Selalunya juga haiwan hidup bersendirian ini juga akan membuat tanda untuk menandakan sesuatu kawasan tersebut adalah wilayahnyanya seperti mencakar pada batang pokok.



Sehubungan itu, kami juga telah mempelajari mengenai interaksi persaingan iaitu persaingan interspesies dan intraspesies.  Persaingan interspesies adalah merupakan persaingan tidak sama spesies iaitu tidak sama jenis.  Contohnya perebutan antara harimau dan beruang dalam mendapatkan makanan dalam sesuatu kawasan.  Persaingan intraspesies pula adalah merupakan persaingan antara sama spesies.  Contohnya persaingan antara spesies badak jantan untuk merebut seekor badak betina.  Bagi haiwan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan persaingan ini berlaku antaranya adalah untuk mendapatkan ruang tempat tinggal/kawasan, pasangan dan makanan.  Manakala bagi tumbuhan pula persaingan boleh berlaku untuk mendapatkan cahaya matahari, air, nutrien(makanan) dan ruang.
Kejayaan dalam sesuatu persaingan tersebut adalah sangat penting dalam meneruskan kemandirian sesuatu spesies haiwan tersebut dan mengelakkan sesuatu spesies haiwan mahupun tumbuhan daripada pupus.

Semasa Tahun 6 ini, kami berbincang kembali mengenai kepupusan spesies.  Iaitu merujuk kepada sesuatu spesies haiwan atau tumbuhan yang sudah tiada seperti harimau tasmania, burung dodo, gajah mamot dan beberapa tumbuhan serta haiwan yang lain lagi.  Pada zaman ini juga, banyak tumbuhan dan haiwan mengalami ancaman dan semakin terancam.  Antaranya adalah pokok rafflesia dan pokok periuk kera yang disebabkan oleh kemusnahan hutan dan alam sekitar.  Bagi haiwan pula seperti penyu, harimau, beruang, gajah dan badak sumbu juga mengalami penurunan dari segi bilangan dan semakin pupus.  Oleh itu, langkah seperti kempen kesedaran yang dilakukan secara berterusan adalah sangat penting bagi menjamin kemandirian spesies - spesies ini.  Selain itu, penguatkuasaan undang - undang yang tegas serta mewartakan lebih banyak hutan simpan adalah suatu langkah yang baik dalam menangani masalah ini.


Keseluruhannya,dari Tahun 4 hingga Tahun 6 ini terdapat beberapa unit secara amnya telah kami pelajari dan bincang bersama - sama.  Antara topiknya adalah keperluan asas tumbuhan, haiwan dan manusia, proses hidup manusia, haiwan dan tumbuhan, mikroorganisma, kemandirian spesies hidupan, rantai dan siratan makanan, persaingan, haiwan hidup berkumpulan dan kepupusan haiwan.  Kesemuanya diharap dapat dijadikan ilmu yang bermanfaat kepada kami semua.







Catatan:
Nota yang boleh dibaca
http://khimsim5450.blogspot.com/2012/11/diancam-bahaya-dan-kepupusan.html
http://imzaroncikgusains.blogspot.com/2010/12/persaingan-ialah-satu-bentuk-interaksi_17.html
Cadangan rujukan peta minda boleh dilakukan pada laman web berikut-
http://www.slideshare.net/marziana80/peta-minda-sains-tahun-456
Rujukan cara menjawab
http://cikgunorlita.blogspot.com/
Regards,
MR NMD

Contoh Penulisan Esei Ringkas - Menyiasat Alam dan Kehidupan (Tahun 5)

Semasa kami Tahun 5, kami telah mempelajari tiga unit utama di bawah tajuk menyiasat Alam dan Kehidupan. Tiga unit tersebut adalah mikroorganisma, kemandirian spesies dan rantaian dan siratan makanan.

Dalam unit mikroorganisma, kami telah diperkenalkan dengan maksud mikroorganisma iaitu hidupan seni atau sangat kecil (tidak dapat dilihat oleh mata kasar). Mikro bermaksud sangat halus atau kecil dan organisma pula adalah bermaksud hidupan. Sehubungan itu, kami juga telah mempelajari sedikit sebanyak mengenai 4 kategori mikroorganisma iaitu bakteria, virus, fungi/kulat dan protozoa.  Empat ciri - ciri am mikroorganisma tersebut adalah bernafas, bergerak, membesar dan membiak.  Selain itu, kami juga telah berbincang mengenai kebaikan dan keburukan mikroorganisma. Dari segi kebaikannya, beberapa penggunaan mikroorganisma dalam industri makanan seperti untuk membuat roti (yis), tapai dan industri pembuatan baja.  Dari segi keburukannya pula, terdapat mikroorganisma berbahaya seperti VIRUS H1N1 yang menyebabkan orang boleh maut, VIRUS AID, Protozoa Malaria dan sebagainya lagi, Melalui pengetahuan ini juga, kami menyedari terdapat beberapa penyakit berjangkit seperti selesema, campak, cacar, conjuctivitis dan beguk disebabkan oleh mikroorganisma.  Oleh itu juga, langkah pencegahan daripada merebaknya penyakit seperti ini adalah sangat penting kami seperti mencuci tangan sebelum makan, kuaratin jika penyakit terlalu teruk dan sentiasa menjaga kebersihan serta mengamalkan hidup yang sihat.



Dalam unit kedua dalam Tahun 5 pula, kami telah belajar mengenai kemandirian spesies iaitu melibatkan tumbuhan dan haiwan. Untuk topik tumbuhan kami menyedari bahawa terdapat 4 agen penyebaran yang utama iaitu air, angin, haiwan dan mekanisme letupan.  Setiap tumbuhan yang disebarkan oleh agen penyebaran tersebut mempunyai ciri - ciri khas yang tersendiri.  Antaranya adalah biji benih tumbuhan yang dipencarkan angin mempunyai ciri - ciri yang ringan dan bersayap, biji benih disebarkan air mempunyai kulit yang berlilin (elak air masuk) dan mempunyai ruangan udara, biji benih dipencarkan oleh mekanisme letupan pula seperti okra (kacang bendi) dan biji getah mempunyai buah yang mempunyai kulit yang boleh merekah apabila kering serta biji benih yang dipencarkan oleh tumbuhan pula akan terbahagi kepada dua iaitu boleh dimakan (nampak sedap dan menarik) dan tidak boleh dimakan (bercangkuk).  Bagi tujuan kemandirian spesies haiwan pula bagi topik dalam tahun 5 ini didedahkan bagaimana cara haiwan tersebut menjaga telur dan anaknya. Ada sesetengah haiwan akan menghasilkan telur yang banyak seperti katak dan penyu berserta penjagaan lain iaitu menghasilkan lendir bagi katak manakala menyembunyikan dalam pasir pula bagi penyu.  Keunikan haiwan lain seperti ikan meletak anak dalam mulut, kala jengking membawa anak di belakang, kanggaru membawa anaknya dalam kantung seperti labah - labah juga adalah bagi memastikan mereka terus hidup dan tidak pupus (tidak wujud lagi). Haiwan yang mampu menjaga spesiesnya akan pupus seperti dinasaur, burung dodo dan sebagainya lagi.



Seterusnya unit ketiga yang telah kami pelajari semasa Tahun 5 adalah mengenai rantaian makanan dan siratan makanan.  Rantaian makanan adalah merupakan perhubungan satu rantai (sehala) sahaja. Terdapat beberapa istilah yang penting untuk diketahui dalam topik ini, antaranya adalah pengeluar dan pengguna.  Pengeluar adalah merupakan organisma yang menghasilkan makanan sendiri.  Contohnya adalah tumbuhan seperti padi dan rumput. Mereka menghasilkan makanan sendiri melalui proses fotosintesis.  Pengguna pula adalah pihak atau organisma yang memakan organisma untuk terus hidup.  Selalunya selain daripada pengguna adalah pengeluar iaitu seperti belalang, ayam, cacing, harimau dan sebagainya lagi. Kita manusia juga adalah merupakan pengguna.  Sehubungan itu, kami juga telah diperkenalkan mengenai maksud herbivor, karnivor dan omnivor bagi mengkategorikan cara pemakanan haiwan.  Herbivor adalah merupakan haiwan yang makan tumbuhan sahaja seperti belalang.  Manakala karnivor adalah haiwan yang makan daging sahaja seperti harimau, buaya dan singa.  Bagi omnivor pula adalah haiwan yang makan kedua - dua sekali iaitu haiwan dan tumbuhan seperti ayam yang makan cacing dan padi.  Manusia pula dikategorikan dalam cara pemakanan omnivor dan manusia tidak mampu menghasilkan makanan secara semulajadi (manusia adalah pengguna).  Selepas memahami dengan sebaiknya mengenai rantaian makanan, kami telah mempelajari mengenai siratan makanan. Siratan makanan secara mudahnya bermaksud gabungan daripada rantaian makanan.  Bermula dari pengeluar hingga ke pengguna yang berlainan dan saling berkaitan diwakili dengan anak panah.



Keseluruhannya, hanya tiga unit utama sahaja yang kami pelajari semasa Tahun 5 ini.




Catatan:     
Sila layari laman web berikut bagi mendapatkan info yang bagus juga.
http://sainstahun5.wordpress.com/

Regards, Mr Nick